Pages

Friday, October 1, 2010

WaktuKu Tak BerHias

"Kringgg!!!"

Jam loceng berbunyi. Sekejapnya waktu berlalu. Terasa macam baru sahaja aku melelapkan mata. Tidur sekejap lagi la, awal lagi ni. Eh... tak boleh. Nanti tak terjaga macam kelmarin.

Aku bangun, duduk menyandar ke dinding. Berat pula kain selimut ini. Tak terdaya aku mengangkatnya.

Aku kembali ke pangkuan bantalku. Hati membisikkan segugus peringatan tapi akalku liat sekali mengarahkan otot-ototku bergerak.

Tidak senang dengan hambatan hati, aku lantas bangun menuju ke bilik air. Mataku masih dipejam. Tanganku meraba-raba dinding mencari arah.

Aduh! Sakitnya. Tidak semena-mena kepalaku terhantuk pada bucu dinding bilik air. Sakitnya menyengat. Ikutkan hati, mahu sahaja aku tendang dinding itu. Mujur kakiku tidak kebal.

Pili air dibuka perlahan. Air sejuk yang terpercik ke kaki membuatkan bulu romaku meremang. Aku berwudhuk sambil menggigil kedinginan.

Kenapa tiba-tiba aku rasa malas berbakul-bakul ni? Aku duduk sebentar di atas sejadah. Entah apa yang berkejaran dalam kampus fikiranku. Aku menoleh lemah ke arah jam dinding.

Setelah aku menguap tiga empat kali, baru aku bangun menunaikan solat Subuh.

.........................................................

"Abang Din dapat anak perempuan," kata abah setelah meletakkan gagang telefon.

"Isteri dia dah bersalin?" Dik Ya tercengang.

"Orang dah cakap dapat anak, boleh pula dia tanya macam tu. Ish... ish... ish... teruk betul." Aku sengaja menyakat. Itulah rutin wajibku di rumah.

"Cepat bersiap, kita bertolak ke Alor Setar lepas sarapan pagi."

"Uh? Perlukah? Lepas Zohor ye abah, adik mengantuk ni."

"Macam la dia yang nak memandu, lesen sekeping pun tak ada. Kihkihkih..." Sasaranku mengena. Ada segugus kepuasan dalam hatiku bila melihat Dik Ya mencebik.

"Mak, masak tengah hari dulu ye sebelum keluar, gaji Abang Chik tak masuk lagi. Sayang mak."

"Semua ikut, Pak Long satu keluarga selalu ziarah kita, kita ini pergi tengok dia tak pernah cukup kuota."

"Tapi Abang Chik dah janji dengan..."

"Abah kata semua ikut, semua ikut."

Anak dah besar panjang pun nak diheret ke sana-sini. Bukannya Kak Zai bersalin anak sulung pun, dah masuk anak ketiga.

Kalau pergi dapat duit tak apa, ni sahih aku juga yang kena bayar duit tol dan duit minyak. Ish.... Leceh betul.

.............................................................

Abah mesti nak bermastautin berjam-jam lagi kat sini. Bahang kebosanan sudah mula melambai-lambai.

Hari cuti yang indah lagi permai ini, kalau bersemayam atas sofa gebu sambil tengok 'movie'. Tak pun main 'game' kesayanaganku itu, aduhai, alangkah nikmatnya.

"Debabnya si kecil ni. Comelnya dia. Berapa berat dia, Kak Zai?"

"3.3 kilo. Geram kan tengok pipi dia?"

"Ya."

Apakah hari ini aku ditakdirkan untuk mendengar omongan kosong kaum hawa? Itu comel, ini comel. Entah apa yang tak comel pun aku tak tahu. Bayi itu biasa je aku tengok.

"Betul kan Abang Chik?"

"Ya...Eh... Apa yang betul?"

"Tadi Abang Chik cakap nak belanja semua orang makan kan?" Dik Ya mengangkat-angkat keningnya. Suka hati mungkin dapat mengenakan aku. Ya Allah, perempuan ni betul-betul mengikis kesabaranku.

Orang dalam rumah ni bukan sikit. Terkikis poketku nanti. Dik Ya ni, kalau nak kenakan orang tu, cuba jangan libatkan duit.

Tak apa... ada ubi ada batas, ada hari pasti aku balas. Walaupun sebenarnya aku yang mula memulakan agenda ini. Huhu.

"Din kalut pagi tadi, lupa langsung bab makan. Selalu Zai yang uruskan hal-hal rumah ni."

"Pak Lang rasa baik pergi beli barang masak sendiri. Mak Lang kamu ada ni, boleh dia masakkan. Kalau nak makan di kedai, nanti separuh di rumah, separuh di kedai, makan pun tak seronok." Abah memberi buah fikiran bernas.

"Betul tu. Pak Long keluar pergi beli barang sekejap ye." Bagus tu, Pak Long. Syukur, Alhamdulillah... selamat duit aku.

"Dik Ya, ikut Pak Long tolong angkat barang."

"Haa. Jom, Firdaus. Rasanya nak kena pergi Giant, pasar pagi dah tutup ni. Pak Long bukan pandai sangat beli barang kat Giant tu."

Aik. Rasanya aku sebut 'Dik Ya' tadi. Tak pula aku 'offer' nak ikut. Apa yang susahnya beli barang kat Giant tu, lepas ambil barang, bayar je di kaunter.

"Letih la Pak Long, memandu jauh tadi. Nah, kunci kereta Abang Chik." Aku menghulurkan kunci kereta kepada Dik Ya.

"Hahaha. Takut mati dia ni Pak Long, sebab tu sampai sekarang tak ambil lesen."

"Kamu la yang ikut. Takkan nak suruh perempuan angkat barang. Jom, jom. Kita naik motor saja."

Motor? Honda 70? Dah la kena ikut orang antik, takkan nak naik motor antik juga.

..........................................

Masuk shopping mall dengan orang tua berbaju teluk belanga dengan kain pelikat lusuh, dan lengkap berserban. Boleh laa. Gaya 'evergreen', lain dari yang lain.

Badan gempalnya yang sedikit membongkok, wajahnya yang penuh kerut, matanya yang merenung untuk melihat tepat, dan langkah kaki tuanya yang sedikit berjengket itu mencuit hatiku.

Hampir saja aku ketawa dengan tingkah lakunya. Bagaimana agaknya rupa aku bila sudah tua nanti?

"Apa nak jadi budak-budak sekarang ni? Tak malu sungguh." Pak Long menggeleng-gelengkan kepala. Suaranya yang agak kuat membuatkan anak remaja itu menjeling.

Malunya aku. Kalau ye pun nak tegur orang, tak payahlah kuat macam tu. Jatuh 'standard ke-macho-an' aku.

"Firdaus ada tak bercinta-cinta macam ni?"

"Eh, tak ada. Firdaus budak baik."

"Budak apanya. Boleh jadi bapak budak dah. Kalau berkenan kat sapa-sapa, ajak nikah terus. Jangan dok berkepit-kepit lagu ni." Aku juga yang kena.

Budak-budak ni pun satu, kalau nampak orang tua, hormat la sikit. Jangan la peluk-peluk, pegang-pegang. Aku yang tak bersalah ni juga yang terpaksa menahan panahan kata-kata.

"Kalau duit tak cukup, macam mana nak ajak nikah, Pak Long."

"Duit sampai ke tua pun takkan pernah cukup. Kita ni mana la pernah puas dengan hidup. Sentiasa nak lebih dan lebih lagi. Orang ada Waja, kita nak Mercedes. Semua perkara jadi dengan ketentuan Allah. Kalau Allah dah izinkin rezeki kita kurang, mesti ada maksud tersirat. Kita tak boleh mengeluh, pura-pura tak tahu yang Allah izinkan sesuatu itu berlaku pada kita."

"Ya... Betul." Bila agaknya orang tua ni nak berhenti berceramah. Kalau tak cukup duit, tak nikmat la hidup ni.

"Bila nak buat ibadat, jangan berlengah-lengah. Allah cipta manusia tak lain tak bukan untuk buat ibadat. Itulah sepatutnya tujuan hidup seorang hamba. Bukan untuk berseronok dengan duit."

Berlengah-lengah je pun. Lebih baik daripada tinggalkan terus. Buat cukup syarat tu pun kira okey apa.

"Bandingkan diri kita dengan orang yang lebih baik, barulah kita selalu merasa tak cukup beribadat. Kalau nak dibandingkan dengan orang yang nyata kurang baik, tak ada maknanya."

Langkahnya terhenti. Digenggamnya erat bahuku.

"Kalau hidup nak bermaksiat macam ni, tak berguna kita hidup. Asyik buat kerja haram, dosa pun bertambah dalam." Matanya yang redup menangkap kemas pandanganku.

"Pak Long sedih la Firdaus oii. Rasa ibadat selama ni tak cukup untuk bekalan akhirat. Entahkan diterima, entahkan tidak. Pak long dah tua, malaikat maut standby nak ambil nyawa."

Selama hayat dikandung badan, tidak pernah pula aku fikirkan apakah ibadatku diterima di kaki langit. Memikirkan maut yang akan merenggut masa percubaanku di dunia jauh sama sekali.

Apakah aku terlupa tuhanku selalu memerhatikanku dari atas sana? Atau apakah Dia sudah berpaling dari diriku ini?

"Maut pun standby tepi orang muda juga, Pak Long. Tak ada siapa tahu bila malaikat Izrail nak jemput."

"Kalau waktu boleh diputar balik, teringin nak kejar masa beribadat siang malam. Dulu asyik sibuk dengan dunia lebih dari sibuk dengan Allah. Astaghfirullah..." Istighfarnya diiringi sendu mata yang mula bergenang.

"Dunia kita palsu, Firdaus. Dunia hanya menipu waktu."

Dunia hanya menipu waktu? Ya Allah, apa yang telah aku buat dengan waktuku? Aku juga lebih sibuk dengan dunia berbanding dengan-Mu. Aku lebih pentingkan wang daripada sedekah.

Aku lebih menatap televisyen daripada kitab-Mu. Lebih mengeruhkan hati daripada membersihkan jiwaku. Kata yang sia-sia melebihi tasbih kepada-Mu.

Sungguh aku lebih menghias rumahku daripada menghias kuburku. Luaskah atau sempitkah kuburku nanti? Andai kata Izrail mencabut nyawaku ketika ini, apa agaknya nasibku di alam sana? Alam terputusnya segala amalan. Alam perhitungan.

Rasulullah s.a.w. bersabda,

"Dua kenikmatan yang sering membuat manusia tertipu ialah sihat dan waktu kosong." (Riwayat Bukhari dari Ibnu Abbas)

Sumber dari :iluvislam.com

Saturday, September 4, 2010

Tema Dan Persoalan Novel Azfa Hanani

Tema
Novel ini bertemakan pengorbanan dan kemuliaan hati seorang gadis dalam menghadapi desakan hidup. Contohnya, Azfa Hanani sanggup menyamar sebagai Tengku Murni kerana tidak mahu membebankan pak long yang terpaksa menanggung pembelajarannya. Dengan menyamar sebagai Tengku Murni, dia juga dapat membantu mendapatkan kos rawatan untuk Zuraini yang lumpuh. Selain itu, penyamaran Azfa Hanani sebagai Tengku Murni juga dapat membuatkan Datin Maziah kembali pulih daripada menghadapi tekanan perasaan kerana Datin Maziah tidak dapat menerima hakikat bahawa anak perempuan tunggalnya telah terbunuh dalam satu kemalangan jalan raya.

Persoalan
Antara persoalan yang terkandung dalam novel ini adalah:-
a) pengorbanan yang dilakukan untuk membalas budi keluarga angkat
b) kesombongan golongan elit
c) ketabahan dalam menghadapi cabaran
d) kesukaran untuk meneruskan pelajaran akibat kemiskinan hidup
e) usaha untuk memantapkan penguasaan dalam sesuatu bahasa
f) hubungan cinta yang terputus sebagai akibat perbezaan darjat
g) sikap terlalu mementingkan kebendaan dan prejudis terhadap golongan miskin
h) kemampuan dari segi kewangan dapat mengubati penyakit

Friday, September 3, 2010

Sinopnis Azfa Hanani Bab 7-24

Kerenah Laili:

Azfa Hanani ke sekolah untuk menghadiri majlis perjumpaan pelajar tingkatan 5 bagi membincangkan projek Hari Sumbangsih. Program yang diatur meliputi pasar ria, kejohanan sukan terbuka, dan pameran. Pada tahun lalu program tersebut telah berjaya mengumpul wang sebanyak RM 16 ribu. Laili tidak berpuas hati dan mendakwa kononnya terdapat ketidakadilan dalam pengagihan slot. Dia tidak berpuas hati kerana tidak diberikan slot mengendalikan Malam Bakat Sumbangsih. Laili turut mempertikaikan kejujuran dan keikhlasan jawatankuasa yang terlibat. Dakwaan Laili dibantah oleh Ekran dengan menjelaskan bahawa agihan slot dibuat melalui undian. Setiap ketua tingkatan mengambil bahagian dalam undian tersebut dan seharusnya soal ketidakadilan tidak sepatutnya ditimbulkan.


Tertanya-tanya:

Azfa Hanani tertanya-tanya mengapa dia tidak dapat berbual panjang dengan Ekran. Lidahnya menjadi kelu kala berhadapan dengan Ekran. Dia juga tertanya-tanya mengapa Ekran menjual burger berhampiran dengan Plaza Cahaya sedangkan gayanya tidak membayangkan kesusahan hidupnya. Di perpustakaan, Fauziana dan Syafikah menawarkan Azfa Hanani sebagai pengacara Malam Bakat Sumbangsih kerana suaranya sesuai. Azfa Hanani tahu bahawa majlis itu diuruskan oleh pelajar Tingkatan 5 Sastera II, jadi dia menganggap tidak perlu masuk campur. Azfa Hanani menolak dengan baik kerana menyedari niat mereka tidak ikhlas. Penolakannya itu membuatkan mereka begitu marah.


Ekran:

Azfa Hanani mengikuti kelas bahasa Inggeris dan bahasa Jepun di Institut Lingua Franca. Dia pergi ke Institut untuk meminjam beberapa buah buku. Sebenarnya dia cuma beralasan untuk keluar rumah. Hasrat hatinya adalah untuk menemui Ekran. Ketika berada di tempat tersebut, Iskandar mahu menghantarnya pulang dengan menaiki motorsikal. Azfa Hanani menolak kerana dia tidak mengenali lelaki itu. Azfa Hanani berpeluang bertemu Ekran yang menjual burger pada hari itu.Ekran menjelaskan minatnya untuk menjadi akauntan.


Meluah Rasa:

Azfa Hanani meluahkan perasaannya kepada Ekran dan menjelaskan bahawa dia bukan Tengku Murni. Dia hanya seorang budak kampung yang hidup dalam serba kekurangan. Dia bukan anak manja Tengku Datuk Makmur dan Datin Maziah. Azfa Hanani hanya menyamar sebagai Tengku Murni untuk memenuhi janjinya kepada Abang Mazran dan Kak Finaz. Dia juga menerima tawaran mereka kerana tidak mahu keciciran dalam pelajaran. Selain itu dia ingin membalas budi pak long dan mak longnya. Abang Mazran dan Kak Finaz telah berjanji untuk menanggung segala kos rawatan Zuraini yang lumpuh.


Bukan Dirancang:

Azfa Hanani tidak merancang untuk ke rumah Tengku Ellina. Tengku Ellina mengajaknya ke rumah kerana pasukan Forum Remaja Sekolah Menengah Taman Sari akan mengadakan sesi perbincangan dan latihan. Datin Maziah memberikan persetujuan akan hasrat Azfa Hanani ke rumah rakannya, Tengku Ellina. Azfa Hanani berasa bersalah kerana berbohong kepada Datin Maziah. Datin Maziah mengingatkan Azfa Hanani agar memberikan fokus terhadap SPM supaya memperoleh keputusan cemerlang seperti "abang-abangnya". Tengku Muzaffar menghantar Azfa Hanani dengan menaiki motosikal berkuasa tinggi. Setibanya di rumah Tengku Ellina, rakan-rakannya telah sedia menunggu. Tengku Ellina meminta Azfa Hanani menggantikan tempatnya sebentar sebagai Pengerusi Forum Remaja, sementara dia mengendalikan mesyuarat sekretariat pameran luar untuk Hari Sumbangsih. Setelah ahli-ahli pasukan Forum Remaja melihat kepetahan dan kelancaran Azfa Hanani sebagai pengerusi, mereka memutuskan bahawa Azfa Hanani akan kekal mempengerusikan Forum Remaja.


Melulu:

Pertandingan Forum Remaja yang akan diadakan di dewan besar sekolah bakal berlangsung sebentar lagi. Azfa Hanani membuat persiapan; memakai tali leher dan menghafal skrip. Azfa Hanani mendapat khabar gerai burger Ekran telah dibakar orang menyebabkan dia bergegas ke bilik persatuan untuk mendapatkan penjelasan daripada Ekran. Ekran tidak ditemui sebaliknya dia bertemu dengan Laili yang tidak berpuas hati akan sikapnya menarik diri sebagai pengacara Malam Bakat Sumbangsih. Kata-kata menghina yang diucapkan Laili telah menggetarkan perasaan Azfa Hanani sebelum melangkah ke pertandingan Forum Remaja.


Hadiah Bererti:

Pasukan yang disertai oleh Azfa Hanani dalam pertandingan Forum Remaja telah berjaya menjadi johan dan Azfa Hanani diumumkan sebagai Pengerusi Forum Terbaik. Ramai yang memuji suara Azfa Hanani amat lunak dan sesuai menjadi pengacara televisyen. Seterusnya, Datin Maziah telah mengadakan majlis ulang tahun yang ke-17 untuk Tengku Murni. Azfa Hanani, walaupun mengambil peranan sebagai Tengku Murni, tetapi berasa terharu kerana diraikan dalam majlis yang begitu meriah. Ekran datang lewat dan hanya menyerahkan hadiah melalui pintu pagar rumah. Azfa Hanani meluahkan perasaan rindunya terhadap pak long sekeluarga di kampung kepada Abang Mazran. Abang Mazran berjanji akan membawa Azfa Hanani pulang bertemu dengan keluarganya di kampung. Abang Mazran juga meminjamkan telefon bimbitnya kepada Azfa Hanani agar dia dapat menghubungi kawan-kawannya di kampung.


Misteri Yang Tersimpan:

Azfa Hanani memanfaatkan sepenuhnya peluang yang diberikan oleh Abang Mazran untuk menghubungi rakan-rakannya di kampung. Azfa Hanani mengimbau perbualannya dengan rakan-rakan sekampungnya, Falina dan Aini. Kak Finaz memberitahu Azfa Hanani bahawa Abang Mazran bersetuju untuk memasang talian telefon di rumah pak long. Abang Mazran juga akan membelikan Azfa Hanani telefon bimbit yang baharu. Azfa Hanani membuka hadiah yang diberikan oleh Ekran. Azfa Hanani terkejut apabila mendapati hadiah itu berupa dompet milik arwah Tengku Murni dan di dalamnya terdapat sejumlah wang, beberapa keping kad, dan sehelai kertas catatan.


Kunjungan Mengejut:

Azfa Hanani menyuarakan hasratnya kepada Kak Finaz untuk menyambut kepulangan pak long dan Zuraini daripada menjalani rawatan di Indonesia. Kak Finaz berjanji untuk membawa Azfa Hanani pulang ke kampung semasa cuti semester pertama nanti. Sekembalinya daripada mengikuti kelas bahasa di Institut Lingua Franca, Azfa Hanani terkejut melihat pak long dan Zuraini berada di rumah Datin Maziah. Kerinduan Azfa Hanani terubat kerana dapat berbual-bual dengan pak long dan Zuraini. Menurut Zuraini, Tengku Datuk Makmur seakan-akan sudah mengenali keluarga mereka sebelum ini.


Hari Sumbangsih:

Hari ini berlangsungnya Hari Sumbangsih di Sekolah Menengah Taman Sari. Sambutan Hari Sumbangsih pada tahun ini lebih meriah. Ekran yang menjadi pengerusi persatuan pelajar tingkatan lima sibuk mengendalikan program sempena Hari Sumbangsih. Ada khabar angin yang mengatakan bahawa Malam Bakat Sumbangsih akan dipulaukan oleh pelajar yang tidak berpuas hati. Azfa Hanani mengambil kesempatan untuk berjumpa dengan Ekran di bilik persatuan. Azfa Hanani mendesak Ekran untuk berterus-terang tentang punca dia menjauhkan diri daripadanya. Akhirnya Ekran membuat pengakuan yang mengejutkan. Ekran mengakui mempunyai hubungan istimewa dengan Tengku Murni. Namun hubungan itu terpaksa diputuskan atas sebab-sebab tertentu. Pada pertemuan terakhir sebelum kemalangan itu, dompet Tengku Murni tertinggal dan dia menyimpan dompet tersebut.


Terusir:

Azfa Hanani masih lagi tertanya-tanya tentang hubungan antara Ekran dengan Tengku Murni. Azfa Hanani membuat tekaan bahawa Datin Maziahlah punca hubungan Tengku Murni dengan Ekran terputus. Dengan menggunakan teknik yang tertentu, Azfa Hanani berjaya membaca rahsia yang terkandung di dalam diari Tengku Murni. Azfa Hanani lantas bersemuka dengan Tengku Muzaffar untuk mendapatkan kepastian. Tengku Muzaffarlah rupa-rupanya yang menjadi dalang yang merosakkan hubungan yang terjalin antara Tengku Murni dengan Ekran. Tengku Muzaffar memberitahu bahawa dia menghalang hubungan antara Tengku Murni dengan Ekran kerana ingin menjaga nama baik keluarga disebabkan Ekran daripada keluarga miskin. Azfa Hanani berasa terhina kerana dirinya juga daripada keluarga miskin. Azfa Hanani tidak berpuas hati kerana kini Tengku Muzaffar melarangnya berkawan dengan Ekran pula. Akhirnya berlakulah pertengkaran antara mereka dan didengari pula oleh Datin Maziah. Datin Maziah amat marah apabila mendapati Azfa Hanani selama ini menyamar sebagai Tengku Murni. Azfa Hanani ditampar, kemudian dihalau keluar dari rumah itu.


Hakikat:

Azfa Hanani mahu terus pulang ke kampung, tetapi Tengku Muzaffar meletakkan Azfa Hanani di rumah Tengku Ellina. Akhirnya, Azfa Hanani dapat kembali tinggal di rumah pak longnya di Kampung Merpati. Namun, pak long dan mak longnya masih belum mengetahui bahawa Azfa Hanani sebenarnya telah diusir keluar dari rumah Datin Maziah. Sebelum ini, Abang Mazran dan Kak Finaz berjanji untuk memujuk Datin Maziah untuk menerima Azfa Hanani kembali. Namun, Azfa Hanani telah membuat keputusan untuk terus tinggal di kampung. Azfa Hanani terkejut apabila keluarga Tengku Datuk Makmur datang mencarinya di kampung. Akhirnya terbongkar rahsia apabila Tengku Datuk Makmur menceritakan bahawa dialah yang telah melanggar teksi yang dinaiki oleh Azfa Hanani sekeluarga sehingga mengakibatkan kematian ibu dan bapa Azfa Hanani. Datin Maziah tidak sampai hati apabila melihat Azfa Hanani yang ketika itu masih bayi menangis kelaparan lalu menyusuinya. Selama 16 tahun, Tengku Datuk Makmur berusaha untuk menjejaki Azfa Hanani. Pencariannya berhasil setelah berbual-bual dengan pak long yang kebetulan berkunjung ke rumahnya sekembalinya daripada menemani anaknya, Zuraini yang mendapatkan rawatan di Indonesia.


Segala-galanya Berakhir:

Azfa Hanani kembali tinggal di banglo Tengku Datuk Makmur dan Datin Maziah. Kali ini dia mahu dikenali dengan identiti sebenar, bukan sebagai Tengku Murni lagi. Tengku Muzaffar pula semakin mendekatkan diri dengan agama. Aktiviti Hari Sumbangsih telah berjaya mengumpul sebanyak RM16,655.00. Syafikah dan Fauzana bersikap baik terhadap Azfa Hanani. Motosikal yang ditunggang oleh Iskandar terlibat dalam kemalangan jalan raya dan Iskandar telah terbunuh. Manakala Laili yang membonceng motosikal tersebut telah cedera parah dan kini di wad ICU.
Pasukan yang menyertai Forum Remaja telah menjadi johan peringkat negeri dan Azfa Hanani telah diumumkan sebagai Pengerusi Forum Terbaik. Pada suatu hari, Azfa Hanani menaiki teksi ke rumah Ekran. Ketika Azfa Hanani tiba, dia melihat Tengku Muzaffar sedang membantu Ekran menyiapkan sebuah gerai. Akhirnya Azfa Hanani mengetahui kedudukan perkara yang sebenar iaitu, Tengku Muzaffarlah yang membakar gerai burger Ekran. Sementara itu, Ekran bukanlah daripada keluarga yang susah. Ayah dan ibuny bekerja sebagai pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia yang kini sedang melanjutkan pelajaran di peringkat doktor falsafah di Amerika Syarikat. Adik-adik perempuannya ikut serta manakala adik lelakinya menuntut di sebuah sekolah asrama penuh. Dia selesa tinggal dengan datuk dan neneknya.

Wednesday, June 9, 2010

Pemindahan Post

Dimaklumkan bahawa blog hafez94.blogspot.com akan mengalami pemindahan post untuk kali ke 2. Pemindahan ini bertujuan menaik taraf blog hafez lebih kepada diari diri aku. Segala kesulitan amat dikesali..

Saturday, March 20, 2010

Harga Remaja

Salam..maaf atas kelewatan sye..Minggu nie sye sibuk dengan persiapan untuk hadapi ujian. Selain itu sye banyak luangkan mase bersama keluarga..maaf lah kalau blog nie serabut.Sye hanya sempt wt satu sahaja..Komsas Harga remaja.. yang lain tu tak dapt nak bantu la''''..minta maaf banyk2..sye pilih komen yang terbanyk dalam satu tajuk...komen harga remaja paling byk dalm pencarian..oke la...usaha sendiri...'''

Harga Remaja
Maksud
Rangkap Satu
Pertanyaan tentang harga remaja yang tidak mengalami kekecewaan.

Rangkap 2
Pertanyaan tentang kewajaran remaja menerima kesusahan, iaitu sana ada disebabkan perasan cinta yang belum masanya atau ilmu yang ditimba selama ini.

Rangkap 3
Remaja amat berharga dan tidak dapat dibandingkan dengan perjanjian dlam percintaan yang belum masanya. Remaja yang baik ialah remaja yang berani dan memiliki ilmu.

Rangkap4
Remaja hendaklah mengetahui arah tuju kehidupannya.

Tema
Ketinggian nilai remaja yang berilmu

Persoalan
(a) Kekecewaan golongan remaja.
(b) Percintaan remaja semasa usia muda
(c) Berani menempuh pelbagai cabaran dan mencuba sesuatu yang baru.
(d) Keyakinan diri dalam melakukuan sesuatu tindakan dan teguh pendirian demi melangkah arah tuju yang diingini.
(e) Menimba ilmu tanpa had sebagai bekalan masa depan yang cemerlang.

Bentuk dan Ciri-Ciri sajak
(a) Terdiri daripada empat rangkap
(b) Bilangan barisnya tidak sama; rangkap pertama (enam baris) , rangkap kedua (enam baris), rangkap ketiga (enam baris), rangkap keempat (dua baris).
(c) Rima akhirnya bebas/tidak sama; abacad,abcdce,aa


Gaya Bahasa
(a) Simile Contoh
Bagai kehujiaun daun
Bagai kesegaran pohon
(b) Metafora . Conth cuka kesangsian, madu ajaran
(c) Asonansi. (pengulangan vocal e- Berapakah sebenarnya harga remaja)
(d) Aliterasi. (pengulangan konsonan t- dengan ketentuan tuju)

Nada
Sajak ini bernada didaktik

Nilai
(a) Rajin
(b) Berani
(c) Gigih berusaha
(d) Bijaksana
(e) Bercita-cita tinggi

Pengajaran
(a) Remaja hendaklah menjaga diri agar tidak mengalami kekecewaan.
(b) Elakkan bercinta sewaktu remaja kerana tidak membawa faedah.
(c) Remaja hendaklah menjadi golongan yang mencitai ilmu.
(d) Remaja perlu bersikap berani kerana benar.

Tuesday, January 26, 2010

Sinopsis Novel Hazfa Hanani - Bab 1 - 6

[novel_komsas.JPG]

Takut:
Ketika rakan-rakannya menumpukan perhatian terhadap pembelajaran Kimia, Azfa Hanani diburu rasa takut sekiranya namanya dipanggil pengetua kerana mencuri buku dari perpustakaan. Padanya, dia bukan bertujuan untuk mencuri sebaliknya hanya "meminjam" untuk mengulang kaji pelajaran kerana tidak mampu untuk membeli buku rujukan tersebut. Dia takut dibuang sekolah kerana perbuatannya mencuri, sekali gus namanya akan tercemar. Semua terjadi disebabkan kemiskinan keluarga pak long yang memeliharanya sejak kedua-dua ibu dan bapanya meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya. Dia semakin takut apabila pengetua mahu menemuinya.

Siapa Mereka?:
Di bilik pengetua, terdapat tetamu yang begitu asing baginya, iaitu Tengku Mazran, Syafinaz dan Syarifah Rozan. Mereka memberitahu dirinya kembar seiras Tengku Murni, seorang remaja yang meninggal dunia dalam suatu kemalangan empat bulan lalu. Tengku Mazran dan Syafinaz memberitahu bahawa dia berkunjung ke rumah Syarifah Rozan semalam dan ternampak gambarnya dalam album. Gambarnya seiras wajah adiknya, Tengku Murni. Azfa Hanani ditawarkan menjadi anak emas keluarga kaya dan menyamar sebagai Tengku Murni kerana wajah mereka seiras, umpama kembar.
Datin Maziah tidak dapat menerima hakikat bahawa anak gadis tunggalnya telah meninggal dunia. Dia menuduh anak-anak lelakinya telah melarikan Tengku Murni. Oleh sebab itu, mereka bercadang untuk mengambil Azfa Hanani menggantikan Tengku Murni bagi menenangkan hati Datin Maziah. Azfa Hanani agak risau untuk menerima tawaran itu walaupun dijanjikan dengan pelbagai kemewahan. Namun begitu, dia akan mencuba jika diizinkan oleh pak long dan mak longnya.

Kerana Terdesak:
Tengku Mazran dan Syafinaz yang ditemani oleh Abang Norman dan Pak Haji Arshad tiba di rumah pak long untuk berbincang dengan pak long dan mak long. Pak Haji Arshad menjadi orang tengah dalam perbincangan itu. Tengku Mazran menceritakan kemalangan yang menimpa adiknya, Tengku Murni. Menurut Tengku Mazran, apabila ibunya, Datin Maziah tersedar daripada koma, yang ditanya ialah Tengku Murni. Puas mereka berdalih dengan mengatakan Tengku Murni mengikuti program pertukaran pelajar di Jepun. Dia tidak mampu berterusan menipu dan tidak mahu ibunya menghadapi tekanan jiwa. Tengku Mazran meminta keizinan pak long dan mak long untuk membawa Azfa Hanani ke Kuala Lumpur. Sebagai balasan, sekiranya Azfa Hanani mahu menggantikan tempat "Tengku Murni", kos perubatan anak pak longnya, Zuraini yang hampir lumpuh akan ditanggung. Azfa Hanani berfikir, sekiranya dia masih kekal di Sekolah Menengah Sri Dian, dia akan dibuang sekolah kerana mencuri buku di perpustakaan. Selain itu, bila-bila masa sahaja pak longnya akan memberhentikan persekolahannya kerana kesempitan hidup. Setelah memikirkan masalah dirinya dan penyakit Zuraini boleh disembuhkan, akhirnya dia menerima tawaran Tengku Mazran.

Seawal Kehadiran:
Di Hotel Universe, Tengku Mazran dan isterinya, Syafinaz mengajar cara-cara bertutur, makan dan bergaul dengan Datin Maziah. Apabila tiba di banglo yang dimaksudkan, dia dibawa ke bilik Tengku Murni ketika hayatnya dahulu. Tengku Mazran dan Syafinaz memujuk Azfa Hanani akan sikap kasar Tengku Muzaffar yang mengungkapkan kata-kata menyakitkan hatinya. Azfa Hanani kemudian berehat di dalam bilik itu. Ketika itu, dia teringat akan kata-kata Nordin sebelum dia bertolak ke sini, bahawa bukan dia yang dituduh mencuri buku, sebaliknya yang mencari beberapa orang pelajar lelaki. Apabila Datin Maziah sudah terjaga daripada tidur, Azfa Hanani dibawa bertemu. Dia mengikut arahan seperti yang diajar oleh Tengku Mazran dan Syafinaz.

Sebagai Murid Baharu:
Azfa Hanani dihantar belajar di Sekolah Menengah Taman Sari. Di sekolah itu, dia berkenalan dengan saudara dua pupu Tengku Murni, iaitu Tengku Ellina. Dia juga berkenalan dengan rakan-rakan Tengku Murni yang lain seperti Adriani, Ekran, selain 'musuh' Tengku Murni, iaitu Laili, Syafikah, dan Fauziana yang dipanggil Budak Glamor. Tengku Ellina menyatakan kehairanannya kerana sehingga kini kad pengenalan, kad ATM dan dompet Tengku Murni belum ditemukan lagi.

Imbalan Budi:
Sekembalinya Azfa Hanani dari sekolah, dia telah disambut oleh Datin Maziah. Dia makan bersama-sama dengan Datin Maziah dan Kak Finaz. Dia kekok makan menggunakan sudu dan garpu. Azfa Hanani bertanyakan tentang dompet Tengku Murni yang hilang itu kepada Kak Finaz. Kak Finaz menyatakan mungkin dompet itu telah diambil orang. Azfa Hanani bimbang rahsianya terbongkar. Kak Finaz meyakinkannya bahawa mayat yang dikebumikan itu memang mayat Tengku Murni. Di dalam bilik, Azfa Hanani menemukan diari Tengku Murni dan dibaca diari itu untuk mengetahui peribadi Tengku Murni.
Tengku Datuk Makmur datang menemui Azfa Hanani di biliknya. Dia akan membayar RM500 sebulan kepada Azfa Hanani sebagai upah kerana menyamar sebagai Tengku Murni. Azfa Hanani tidak menyangka budinya akan dibalas dengan wang ringgit. Namun dia terpaksa menerima wang itu demi membantu pak long di kampung.


Terima kasih cikgu rose : http://cikguroosezah.blogspot.com/

Sinopsis Cerpen Kasut Kelopak Jantung Form 1

[Kasut+Kelopak+Jantung+Ting+1.jpg]


Puisi Tradisional

Pantun Dua Kerat (Nasihat)
Pantun Empat Kerat (Agama)
Pantun Empat Kerat (Berjimat cermat)
Pantun Empat Kerat (Teka-teki)
Syair Wasiat Ayahanda Siti Zawiyah
Syair Kemangkatan Sultan Sulaiman

Sajak

Kian Kita Lupa
Lebah dan Madu
Hari Akhir Persekolahan
Jangan
Diari Lama
Asap

Prosa Tradisional

Taju’l Muluk
Hikayat Marakarma
Budi Seorang Bapa Angkat

Cerpen

Kasut Kelopak Jantung
Tempang
Tukang Lama
Yuran
Trauma Embah
Sepucuk Surat daripada Kawan


Drama

Surat untuk Ina
Arah ke Mana
Mendung Hitam Beralih Jua

Cikgu Harun menerima sebuah bungkusan lagi ketika balik dari surau pada malam itu. Hadiah seperti itu sering diterimanya setiap kali menjelang 16 Mei. Hadiah itu telah membuatkan Cikgu Harun mengimbas kembali kenangan silamnya sebagai pendidik di kawasan pedalaman tiga dekad yang lalu. Ketika Cikgu Harun di dalam kelas darjah tiga, beliau pernah menanyakan Ahmad, mantan muridnya sama ada beliau sudah membeli kasut atau belum. Pertanyaan yang sama juga diulangi saban minggu kerana Ahmad tidak mampu untuk membeli sepasang kasut. Cikgu Harun terus mendesak Ahmad sehingga menimbulkan kemarahan kepada Cikgu Harun. Pada suatu hari, ketika aktiviti senaman dijalankan Ahmad didenda memakai kasut yang diperbuat daripada kelopak jantung pisang kerana Ahmad tidak berpakaian lengkap seperti murid-murid lain. Peristiwa itu telah menyebabkan Ahmad berasa malu dan terus ponteng sekolah hampir seminggu lamanya.

Cikgu Harun terpaksa ke rumah Ahmad untuk mengetahui sebab Ahmad tidak datang ke sekolah. Setelah menunggu beberapa ketika Ahmad pulang dari kebun dan masih memakai kasut kelopak jantung yang diberikan oleh Cikgu Harun. Kepatuhan muridnya ini dan ketidakmampuannya untuk membeli sepasang kasut menyebabkan Cikgu Harun tidak dapat menahan kesedihannya. Lantas, beliau terus ke pekan untuk membelikan pakaian sekolah dan kasut untuk Ahmad. Sebenarnya, segala memori indah yang dipaparkan antara Cikgu Harun dan Ahmad sudah pun berlalu tiga dekad lamanya. Kini, Cikgu Harun sudah pun bersara dan setiap tahun sempena Hari Guru, beliau akan dihadiahi Ahmad dengan sepasang kasut baharu dan berjenama. Hal ini demikian sebagai mengenang jasa Cikgu Harun kerana Ahmad kini sudah berjawatan pengurus besar di sebuah syarikat pengeluar kasut terkemuka di bandar. Peristiwa memakai kasut kelopak jantung telah menyedarkan Ahmad betapa pentingnya kasut kepada manusia.

Terima Kasih kepada Cikgu munsyibm : http://munsyibm.blogspot.com/

Tuesday, January 5, 2010

Buku Teks Baru KOMSAS Tingkatan 4 2010

[Harga+Remaja+T4.jpg]

Mulai tahun 2010, murid tingkatan 1 dan tingkatan 4 akan menggunakan buku KOMSAS yang baru. Buku antologi tingkatan 4 bertajuk Harga Remaja terbitan DBP. Buku ini memuatkan hasil karya pengarang terkenal antaranya Anwar Ridhwan, Rahman Shaari, Ghazali Lateh, Abdullah Hussain dan sebagainya.

Bahan antologi ini merupakan satu wadah penulisan yang mengandungi fakta, maklumat dan pengetahuan yang diperlukan dalam mata pelajaran BahasaMalaysia. Perkara ini bertujuan untuk pembangunan diri dan pembentukan minda setiap murid. Oleh itu, murid diharap dapat menggunakan buku ini bukan sahaja untuk lulus dalam peperiksaan, tetapi perlu difahami dan dimanfaatkan dalam kehidupan kerana hasil karya biasanya memuatkan luahan rasa dan pengalaman hidup masyarakat.

Berikut ialah tajuk-tajuk yang terkandung dalam antologi Harga Remaja :
Puisi Tradisional
1. Pantun Empat Kerat (Budi)
2. Pantun Empat Kerat (Jenaka dan Sindiran)
3. Syair Definisi Orang Berakal
4. Syair Siti Sianah
5. Gurindam 12 Fasal yang Keenam
6. Seloka Emak Si Randang
Sajak
1. Harga Remaja (Rahman Shaari)
2. Di Perpustakaan (Shafie Abu Bakar)
3. Mengintai Ruang Insaf (Shukri Abdullah)
4. Mahsuri (Zurinah Hassan)
5. Adat Sezaman (Wan Nazihah Wan Abdullah)
6. Tiba Waktunya (GHazali Lateh)
Prosa Tradisional
1. Pelayaran yang Penuh Peristiwa
2. Merah Silu
3. Hikayat Indera Nata
4. Hikayat Khoja Maimun
Cerpen
1. Ibu dan Ceper (Shahnon Ahmad)
2. Memori Seorang Tua (Zahari Affandi)
3. Israk (Erda Roslan Khairi)
4. Pemain Catur (Zaharah Nawawi)
5. Mellisa (Abdullah Hussain)
6. Biarkan Samudera (Raihanah Salleh)
Drama
1. Gelanggang Tok Wali (Ismail Kassan)
2. Forum Remaja 2020 (Sharif Shaary)
3. Cempaka Berdarah (A. Rahim Abdullah)

iNFO http://norhawakusess.blogspot.com/2009/10/buku-teks-baru-komsas-tingkatan-4.html

Buku Novel Zon Perak

[novel_komsas.JPG]

Saturday, January 2, 2010

Nenek Oh Nenek

KUANTAN: Sambutan tahun baru kali ini pasti menjadi sejarah paling memalukan bagi seorang nenek lapan cucu berusia 54 tahun apabila ditangkap berkhalwat dengan seorang lelaki berusia 16 tahun lebih muda baru dikenali tiga bulan lalu.

Lebih memalukan, ketika serbuan dilakukan anggota Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) kira-kira jam 7.20 pagi di sebuah hotel murah di Jalan Besar, di sini, semalam, pasangan terbabit dengan selamba memberi alasan sedang berbogel menyebabkan mereka lambat membuka pintu ketika diketuk.

“Takkan kami hendak buka pintu dalam keadaan bogel,” kata pasangan lelaki berusia 38 tahun berkenaan kepada anggota penguat kuasa yang hanya mampu menggelengkan kepala mendengarkan jawapan itu.

Malah ketika ditahan, nenek yang juga ibu tunggal beranak enam itu tanpa berselindung mengakui kesalahan dilakukan bersama pasangannya yang bekerja sebagai jurukimpal di bandar ini.



Ketika anggota penguat kuasa meminta kad pengenalan masing-masing bagi menahan mereka, wanita warga emas yang bekerja sebagai pembantu kedai itu merayu supaya dia dan pasangannya dibebaskan kerana malu jika anak dan cucu serta menantunya mengetahui perlakuan sumbangnya.

Ketua Penguat Kuasa Agama negeri, Ahmad Raffli Abdul Malek, berkata hasil siasatan dilakukan pihaknya, pasangan terbabit mengaku sudah melakukan hubungan seks ketika bermalam di hotel berkenaan.

Katanya, wanita terbabit juga mengaku baru mengenali pasangannya tiga bulan lalu dan merancang untuk berkahwin namun terpaksa ditangguhkan kerana masalah kewangan.

“Nenek itu turut memaklumkan dia sudah menjanda selama enam tahun selepas kematian suami dan tinggal keseorangan di Kampung Kurnia, di sini. Pasangannya pula lelaki bujang berasal dari Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, pasangan berkenaan turut mengakui bertemu malam kelmarin untuk menyambut tahun baru bersama sebelum mengambil keputusan memadu asmara di hotel berkenaan.

“Mengejutkan apabila nenek lapan cucu itu memaklumkan keputusan bermalam di hotel itu dibuat selepas bimbang diketahui orang kampung jika membawa pasangannya pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui selepas operasi dinamakan ‘Ops Insaf’ itu tamat kira-kira jam 10 pagi.

Ahmad Raffli berkata, dalam operasi bermula jam 4 petang pada 31 Disember tahun lalu sehingga semalam, 58 ditahan kerana kesalahan berkhalwat.

Katanya, dalam operasi berkenaan 20 hotel murah dan rumah tumpangan yang menjadi tumpuan pasangan melakukan maksiat sekitar bandar ini diperiksa.

Katanya, semua pasangan ditahan dibawa ke pejabat agama untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987).

“Jika bersalah, mereka boleh didenda RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Katanya, selain menumpukan kepada hotel dan rumah tumpangan operasi berkenaan turut dilakukan di sekitar kawasan tumpuan seperti Teluk Chempedak, Pantai Gelora, Taman Teruntum dan kawasan rekreasi Balok dalam usaha membasmi kegiatan maksiat.

“Dalam operasi di kawasan berkenaan, 25 ditahan membabitkan pelbagai kesalahan seperti berpakaian menjolok mata, minum arak dan berpeluk atau bercium di khalayak ramai,” katanya.
>