Setelah peristiwa ‘pembakaran’ oleh Namrud, Nabi Ibrahim a.s. berhijrah ke Palestin. Di sana, Allah mengurniakan baginda seorang anak lelaki ketika usia baginda menjangkau 86 tahun. Belum pun puas baginda ‘menimang’ anak sulongnya itu, Allah s.w.t memerintahkan pula baginda meninggalkan isterinya Hajar dan anaknya Nabi Ismail a.s. di Makkah, tanah tandus yang terletak jauh dari Palestin. Nabi Ibrahim a.s. pasrah dengan perintah Allah ini, lalu segera melaksanakannya tanpa bertangguh. Dapatkah kita bayangkan perasaan seorang isteri yang ditinggalkan bersama anak yang baru lahir oleh suami yang dicintainya?
Setelah berlalu beberapa tahun, apabila Nabi Ismail a.s. sudah agak besar dan mampu bekerja bersama-sama ayahnya, datang pula perintah Allah supaya Nabi Ibrahim a.s. menyembelih anak kesayangannya itu. Dapatkah kita gambarkan hati kecil seorang ayah yang diperintah untuk ‘mengorbankan’ anak kesayangannya, setelah terpisah sekian lama? Dapatkah pula kita selami sanubari seorang anak yang telah lama ditinggalkan bersama ibu, tiba-tiba ayahnya datang untuk menyembelihnya? Allah menceritakan peristiwa besar ini dalam Al-Qur’an, Surah Ash-Shaffat, ayat 102:
Sesungguhnya peristiwa tersebut merupakan satu peristiwa besar, menifestasi sebuah pengorbanan agung dalam mentaati perintah Allah. Peristiwa yang berlaku pada tanggal 10 Zulhijjah ini jugalah yang ‘dirayakan’ oleh umat Islam seluruh dunia pada setiap tahun. Benar, kita merayakan ‘yaum an-Nahar’ setiap tahun. Tetapi, berapa kerapkah kita menghayati peristiwa agung ini? Tidak keterlaluan jika kita katakan bahawa majoriti umat Islam tidak mengambil pengajaran daripada peristiwa ini, walaupun mereka menyaksikan upacara ‘menyembelih’ haiwan korban hampir setiap tahun. Dalam penulisan ini, dengan izin Allah s.w.t saya akan cuba mengetengahkan satu hakikat besar daripada peristiwa agung ini.
Manusia adalah hamba Allah. Hakikat seorang hamba adalah kepatuhan total terhadap perintah tuannya tanpa merasa keberatan, walaupun rahsia atau hikmah di sebalik perintah tersebut tidak difahami. Seorang hamba tidak berhak untuk mempersoalkan apatah lagi untuk engkar akan perintah tersebut. Firman Allah s.w.t dalam Surah Al-Ahzab: 36:
“Dan tidaklah harus bagi orang-orang Yang beriman, lelaki dan perempuan - apabila Allah dan RasulNya menetapkan keputusan mengenai sesuatu perkara - (tidaklah harus mereka) mempunyai hak memilih ketetapan sendiri mengenai urusan mereka. dan sesiapa Yang tidak taat kepada hukum Allah dan RasulNya maka Sesungguhnya ia telah sesat Dengan kesesatan Yang jelas nyata” (Al-Ahzab: 36)
Islam bukannya sekumpulan konsep-konsep lesu yang berlegar-legar di minda manusia. Islam juga bukan bererti kepercayaan-keprcayaan buta yang dipaksa kepada manusia. Islam bukan sekadar beberapa perlakuan ritual (’aktiviti keagamaan’) yang wajib dilaksanakan secara membuta-tuli. Sebaliknya, Islam adalah agama praktikal yang berpengaruh di dalam kehidupan manusia. Islam bermaksud ketundukan yang sepenuhnya kepada syariat Allah. Seorang muslim tidak pilihan, kecuali menjadikan keseluruhan hidupnya dibawah naungan syariat Allah yang sempurna. Sekiranya seorang muslim itu memilih untuk hidup di luar syariat, maka pada hakikatnya dia bukanlah seorang muslim, walaupun dia mengaku beriman. Firman Allah s.w.t:
Konsep ketundukan total kepada perintah Allah ini tergambar jelas dari peristiwa keluarga Nabi Ibrahim a.s. sepertimana yang telah dinukilkan di atas. Ketundukan inilah yang menyebabkan Hajar bersabar dengan ujian ditinggal oleh suami tercinta di lembah yang tandus bersama anaknya yang masih kecil. Ketundukan inilah yang menyebabkan Nabi Ibrahim a.s. sanggup menyembelih anak yang amat disayangi. Penyerahan inilah juga yang mengakibatkan Nabi Ismail a.s. bersedia dikorbankan demi memenuhi perintah Allah s.w.t. Ini semua mereka lakukan dengan patuh walaupun mereka tidak mengetahui hikmah di sebalik perintah tersebut. Adakah kita menghayati hakikat ketundukan total ini dalam kehidupan kita?
Kebanyakan umat Islam hari ini amat jauh dari hakikat ketundukan ini. Mereka tenggelam dengan gaya hidup barat yang berkiblatkan hawa nafsu. Pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan menjadi syi’ar mereka. Gejala perzinaan, perlakuan sumbang dan kelucahan berleluasa dalam masyarakat, sehingga kanak-kanak sekolah rendah pun tidak ’kebal’ daripada kerosakkan ini. Golongan muda lebih mengutamakan hiburan daripada menimba ilmu. Mereka lebih gemar membuang masa dengan melepak di gedung-gedung membeli belah mahupun bersiar-siar di taman-taman, atau menjadi mat rempit di jalan-jalan raya. Kehidupan ’glamour’ artis-artis menjadi idaman pemuda-pemudi Islam.
Pada masa yang sama, masyarakat secara keseluruhannya seolah-oleh menerima semua gejala ini sebagai suatu yang normal. Ditambah pula dengan keghairahan syarikat-syarikat penyiaran dalam mempromosikan budaya hidup yang asing ini melalui program-program bercorak hiburan yang melampau. Semua ini menggambarkan suasana masyarakat yang jauh daripada hidayah yang tiada bezanya dengan masyarakat kafir di negara-negara barat. Masyarakat Islam lupa akan ’risalah’ yang diamanahkan oleh Allah s.w.t ke atas bahu mereka. Tidakkah mereka membaca Al-Qur’an? Firman Allah s.w.t:
Ya... kita adalah umat terbaik! Kita adalah umat yang memimpin, bukannya dipimpin. Kita adalah umat yang sepatutnya mencorakkan perjalanan dunia! Malangnya, umat Islam hari ini lupa akan hakikat ini, lalu mereka redha hidup dalam kehinaan.
Islam adalah menifestasi ketundukan total kepada Allah s.w.t sebagaimana yang digambarkan melalui kisah keluarga Nabi Ibrahim a.s. Ketundukan yang didasari aqidah dan keimanan bulat yang mantap. Hakikat ini patut kita hayati setiap kali kita menyambut tanggal 10 Zulhijjah! Sesungguhnya, pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dan keluarganya dalam menurut perintah Allah s.w.t adalah contoh terbaik untuk kita jadikan suri tauladan. Umat ini hanya akan bangkit melalui jalan yang ditunjukkan oleh generasi terdahulu yang telah berjaya dari kalangan para anbiya’, para syuhada’ dan para solehin.
Sesungguhnya Allah s.w.t amat cemburu akan hamba-Nya yang tidak beriman. Kehendak Allah s.w.t bahawa agama ini akan kembali mentadbir dunia sebagaimana yang telah berlaku dahulu. Walaubagaimanapun, telah menjadi sunnatullah, bahawa setiap kesenangan mesti didahului dengan kesusahan, setiap kejayaan memerlukan usaha, setiap kemenangan memerlukan pengorbanan. Pertolongan dan ganjaran Allah s.w.t pasti datang, asal sahaja kita melaksanakan segala perintah Allah s.w.t dengan penuh kepatuhan dan ketundukan. Firman Allah s.w.t:
Dr. Ahmad Kamsani b. Samingan
Timbalan Presiden
Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA)